Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Jumaat, 7 Julai 2017

Syawal Yang Tersirat

Selama 30 hari berpuasa di bulan Ramadan telah mengajar kita banyak perkara. Ibadah yang telah ditunjukkan Rasulullah ﷺ agar umatnya memperkukuh diri di bulan Ramadan semuanya itu merupakan asas mencapai tingkatan orang-orang yang bertaqwa. Islam menganjurkan kita beristiqamah dalam sesuatu amalan, begitulah juga dengan ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadan. Ia perlu dijadikan budaya sepanjang tahun sehinggalah kita berjumpa Ramadan akan datang.

Secara simboliknya semua umat Islam menyambut Aidilfitri sebagai kemenangan mereka melawan hawa nafsu setelah berjaya berpuasa Ramadan sebulan lamanya. Namun, kita perlu muhasabah dan mengoreksi diri dengan merenung kembali kualiti puasa yang kita lakukan. Apakah dengan berakhirnya Ramadan rasa ketakwaan, cahaya keimanan dan obor ketauhidan dalam diri kita berjaya dipertingkat dan semakin menebal. Jika objektif ini dapat dicapai maka ia menjadi petanda bahawa amalan kita diterima oleh Allah.

Hal ini jelas dalam setiap ibadat; misalnya dalam ibadat haji; jika amalan selepas mengerjakan haji dikatakan bertambah baik daripada amalan sebelum pergi haji, itu menjadikan tanda sebagai penerimaan Allah terhadap hajinya atau memperolehi haji yang mabrur. Demikian juga dalam ibadat puasa. Jika tiada peningkatan antara amalan sebelum dan selepas malahan bertambah teruk, fahamlah kita amalan puasa kita belum mencapai tahap; malahan bersesuaian dengan sabda Nabi ﷺ:
كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَالْعَطَشُ
“Betapa ramai orang yang berpuasa yang tidak dapat apa kecuali lapar dan dahaga.”
Sasaran berpuasa adalah untuk mendapatkan puasa yang “mabrur” juga.  
Sebenarnya setiap hari berpuasa iaitu ketika berbuka, kita disarankan untuk menilai kualiti puasa khusus pada hari itu. Begitulah pada hari-hari seterusnya. Selama sebulan kita mengoreksi diri di bulan Ramadan dan di bulan Syawal ini diadakan secara lebih menyeluruh. Biarlah Hari Raya dijadikan titik tolak baru bagi kita menjalankan muhasabah bagi memperbaiki diri sendiri.  

Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hamba-Nya yang keberatan meninggalkan Ramadan lantaran banyaknya ganjaran dan pahala disediakan pada bulan itu. Kepada golongan ini, Allah membuka satu lagi tawaran dengan menjanjikan pahala setahun iaitu dengan menjalani puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Barangsiapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh.”

Sama-samalah kita rebut peluang ini sementara Syawal masih berada di depan kita. Sama-sama kita berharap dan berazam sungguh-sungguh semoga kemenangan di bulan ini kita jadikan asas untuk kita menapak lebih jauh menuju keredhaan dan kerahmatan Allah sehinggalah kita meninggalkan alam yang fana ini.

Di samping itu juga adalah diharapkan agar latihan ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadan seperti puasa, solat sunat, sedekah, bacaan al-Quran dapat diteruskan dan dipertingkatkan dalam bulan-bulan lain sehinggalah kita bertemu Ramadan akan datang. Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Sayugialah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa bulan Ramadan.

Setiap amalan ada kesan dan hasilnya. Ibadat puasa Ramadan ini mampu menjadikan kita orang yang bertakwa. Inilah intipati dari Ramadan. Kelazatan puasa memuncak ketika berakhirnya Ramadan. Kita inginkan keberkahan Ramadan ini berpanjangan hingga setahun, tetapi apakan daya ia datang hanya sebulan sahaja. Dalam satu hadis Qudsi ada disebutkan:
وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ
“Dan tidaklah hampir kepadaku seorang hamba-Ku dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/ wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin
menghampirkan diri mereka kepada-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya.”   

Bagi kaum perempuan yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadan kerana kedatangan haid, puasa sunat 6 hari dalam Syawal ini memberi peluang terbaik untuk mengqadha’ di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat.

Natijah dari amalan puasa ialah taqwa dan kasih akan Allah. Tanda kasih akan Allah ialah berkhidmat kepada-Nya. Siapa mencintai Allah dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Kelazatan dunia walaupun bagus tetapi ia tidak kekal. Ia berakhir sebaik saja kita menemui ajal. Sebaliknya kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu. 

Di antara tanda kita mengasihi akan Allah ialah mulut sentiasa berzikir (mengingati/ menyebut) Allah, hati tidak lalai mengingati sesuatu selain Allah. Setiap amalan yang dilakukan diperiksa terlebih dulu adakah untuk nafsu atau Allah. Mana yang dirasakan untuk Allah diteruskan. Apabila melihat sesuatu hati terus teringat kepada Allah yang menjadikannya. Selain itu, sentiasa mendampingi orang alim (ulama) kerana mereka ialah pewaris Nabi. Kita sedar kita adalah bersama orang yang kita cintai di akhirat nanti. Jika hati menyintai Nabi dan para ulama’, mudah-mudahan kita bersama mereka di akhirat kelak. Bagaimana pula agaknya kalau kecintaan beralih kepada para artis dan penyanyi?

Sebagai akhirnya, sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat bertemu Ramadan tahun depan dan seterusnya.   
“Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadan kerana kami sedar di syurga terdapat sebuah pintu bernama al-Rayyan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali orang yang berpuasa sahaja. Kami juga sedar Ya Allah bahawa puasa merupakan benteng terkuat dari azab neraka. Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunatnya. Engkau peliharakanlah kami dari azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya.” Amin

0 ulasan:

Catat Ulasan

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews