Ensiklopedia Dakwah. Lajnah Penyelidikan Dewan Ulamak PAS Selangor

Selasa, 12 Disember 2017

Memahami Konsep “Tabayyun”

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
“Wahai orang-orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa suatu berita, maka bersungguh-sungguhlah mencari kejelasan agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa pengetahuan yang menyebabkan kamu menjadi orang yang menyesal.” (Surah al-Hujurat: 6)
Ayat ini, menurut ulama mufassirin diturunkan menyebut perihal al-Walid ibnu Uqbah ibnu Abi Mu’ith yang ditugaskan Nabi Muhammad ﷺ, pergi menuju ke Bani al-Mustalaq untuk memungut zakat. Ketika anggota masyarakat yang ditujukan mendengar kedatangan utusan Nabi itu, lantas mereka keluar dari kediaman masing-masing untuk menyambutnya sambil membawa sedekah mereka. Tetapi al-Walid menduga bahawa mereka itu akan membunuh dan menyerangnya.

Oleh kerana itu, al-Walid kembali dan melaporkan kepada Rasulullah ﷺ bahawa Bani al-Mustalaq enggan membayar zakat dan mahu menyerang utusan Nabi ﷺ (dalam riwayat lain dinyatakan bahwa mereka telah murtad). Rasulullah ﷺ tidak senang dengan perkhabaran al-Walid itu lalu Baginda ﷺ memerintahkan Khalid Ibnu Walid menyelidiki keadaan sebenarnya sambil berpesan agar tidak menyerang mereka sebelum permasalahan yang berlaku menjadi jelas.

Setelah mendapat perintah daripada Rasulullah ﷺ, Khalid al-Walid segera mengutus seorang perisik untuk menyelidik perkampungan Bani al-Mustalaq. Ternyata masyarakat di sana masih beriman bahkan mengumandangkan azan untuk melaksanakan solat berjamaah. Khalid kemudiannya mengunjungi mereka lalu menerima zakat yang telah mereka kumpulkan. Kebijaksanaan itu telah menyelamatkan masyarakat Islam daripada tersalah dalam menjatuhkan sesuatu hukuman.

Berdasarkan ayat di atas, perkataan “fasiq” diambil dari kata “fasaqa” yang digunakan untuk menggambarkan buah yang telah rosak atau terlalu matang sehingga mengelupas kulitnya. Seseorang yang derhaka adalah orang yang tersasar dari koridor agama akibat melakukan dosa besar atau sering kali melakukan dosa kecil. Manakala perkataan “naba” bererti berita yang penting. Berbeza dengan perkataan “khabar” yang bererti kabar secara umum. Justeru ayat ini mengajak umat Islam terlihat dituntut untuk menyelidiki kebenaran informasi yang penting untuk kemaslahatan umat.

Ayat di atas merupakan salah satu agenda yang ditetapkan agama dalam kehidupan sosial sekaligus tuntunan yang sangat relevan bagi menerima suatu berita. Kehidupan manusia dan interaksinya mestilah berdasarkan hal-hal yang diketahui dan jelas. Manusia sendiri tidak dapat menjangkau seluruh informasi. Oleh kerana itu, ia memerlukan pihak lain. Pihak lain itu pula ada yang jujur dan memiliki integriti sehingga hanya menyampaikan hal-hal yang benar, dan ada pula sebaliknya. Dari sinilah mengapa kita dituntut agar ber“tabayyun”.

Perkataan “tabayyun” berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud men“thabit”kan dan menyemak asas kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti menfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan. Perintah untuk “tabayyun” merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka. 

Allah memerintahkan umat Islam untuk bersikap hati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti yang berkait dengan isu mengenai sesuatu tuduhan atau hal yang menyangkut tentang identiti seseorang. Adab atau sikap yang terkait dengan “tabayyun” ini ditekankan agar kita tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuk juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas keaiban dan membahayakan pemikiran. Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.

Kegagalan mengamalkan tabayyun akan menatijahkan musibah kepada diri dan ummah sehingga membawa kepada penyesalan diri yang teramat di dunia dan akhirat. Satu kaedah menyatakan:
إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ
“Sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”

Kaedah fiqh yang lain ada menyatakan:
 
اَلْبَيِّنَةُ عَلَى المُدّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ
“Beban bukti itu adalah atas pendakwa dan sumpah itu atas yang mengingkari.”

Pada hari ini, kita sering kali dilimpahi dengan maklumat dan berita yang diperoleh melalui pelbagai saluran seperti surat khabar, majalah, WhatsApp, Facebook dan sebagainya. Maklumat yang diperoleh itu adakalanya membawa kepada perselisihan dan ada juga yang menyatakan kebenaran. Apa yang pasti, limpahan maklumat pada hari ini yang mudah untuk diperoleh tidak lagi mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya. Segala berita yang diperoleh tanpa asas kebenaran dan kepastian yang jitu, dapat mengundang kepada permusuhan dan perselisihan sesama kita.

Perpaduan atau tali persaudaraan yang telah dibina selama ini mampu dileraikan atau diputuskan akibat daripada maklumat serta berita yang disampaikan ini tidak tepat dan dusta. Rasulullah ﷺ bersabda:
شِرَارُ عِبَادَ اللهِ المَشَّاؤُونَ بِالنَمِيمَةِ، المُفَرِّقُونَ بَيْنَ الأَحِبَّةِ، البَاغُونَ لِلبُرَءاءِ العَيْبَ
“Sejahat-jahat hamba Allah ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah belah antara orang-orang yang berkasih sayang, yang mencatatkan orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.”

Pada hakikatnya apabila Islam berperanan untuk melenyapkan permusuhan dan mendamaikan antara dua orang yang berselisih faham, juga membenarkan pendamai itu menyembunyikkan apa yang didengar dari kata-kata yang buruk, yang dikatakan seseorang itu kepada yang lain, dan menambah pula kata-kata yang baik dari mulutnya sendiri, yang tidak didengarnya dari salah seoarang antara kedua dalam suatu hal atau perkara, kerana hal tersebut dinyatakan di dalam sebuah hadis Nabi ﷺ bersabda:
لَيْسَ بِكَذَابٍ مَنْ أَصْلَحَ بَيْنَ اثْنَينِ فَقَالَ خَيْرًا أَوْ نَمَّى خَيْرًا
“Tidaklah dikira berdusta, siapa yang mahu mendamaikan antara dua orang yang berselisih, lalu dikatakannya segala yang baik-baik atau dia menambah apa yang baik.”
 
Islam sangat marah terhadap orang yang gemar mendengar perkataan yang buruk, lalu segera menyampaikan kepada orang lain untuk bermusuh-musuhan atau kerana ingin menimbulkan fitnah, atau bertujuan untuk memporak perandakan hubungan antara satu sama yang lain supaya hancur binasa. Orang seperti ini tidak hanya cukup untuk menyampaikan apa yang didengarnya sahaja, malahan perasaan ingin memporak-perandakan yang ada pada diri mereka itu akan mendorong mereka untuk menambah sesuatu benda yang lain daripada apa yang mereka dengar, iaitu dengan mencipta sesuatu yang tidak didengarnya itu.

إِنْ يَسْمَعُوا الخَيْرَ أَخْفَوْهُ، وَإِنْ سَمِعُوا شَرّاً أَذَاعُوا، وَإِنْ لَمْ يَسْمَعُوا كَذِبُوا
“Jika dengar baik mereka sembunyikan, sebaliknya dengar yang buruk mereka hebahkan, jika tidak dengar, lalu dusta.”

Suatu ketika seorang lelaki datang kepada Umar bin Abdul Aziz rahimahullah, lalu dia menyampaikan sesuatu yang tidak baik tentang seorang temannya. Kemudian Umar bin Abdul Aziz berkata kepadanya, “Sekarang kami terpaska menyiasat perkara ini! Jika kamu dusta, maka kamu termasuk dalam golongan orang yang dinyatakan dalam firman Allah...”

إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا
“Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.” (Surah al-Hujurat: 6)

Jika kamu bercakap benar pula, maka kamu tergolong dalam kumpulan orang yang dikatakan dalam firman Allah...

هَمَّازٍ مَّشَّاءٍ بِنَمِيمٍ
“Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).” (Surah al-Qalam: 11)

Maklumat yang tepat dapat menjadikan kita sebagai seorang yang mampu bertindak di atas asas kebenaran yang kukuh dan menepati kehendak syarak. Perselisihan yang berlaku akibat daripada kekaburan maklumat atau berita yang diperoleh menjadikan seluruh masyarakat hidup dalam keadaan sentiasa syak wasangka terhadap sesama sendiri, lebih mudarat lagi apabila melibatkan keluarga atau kerabat yang terdekat. Inilah bala dan perkara yang mesti di ambil peduli dan sikap yang tegas dalam mencari dan menyampaikan maklumat dan berita yang betul dan tepat.

POPULAR POSTS

RECENT POSTS

    Total Pageviews